Kewangan ialah suatu aspek yang sangat penting dalam keusahawanan. Wang ialah nadi perniagaan. Selain perniagaan, perancangan dan pengurusan kewangan juga amat penting dalam kehidupan seharian dan seterusnya memastikan perjalanan hidup lebih tersusun dan teratur.
Tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana menguruskan kewangan secara bijak, tidak kira sama ada anda orang kaya ataupun kurang berharta. Dalam pengurusan kewangan, ada beberapa perkara yang perlu diambil berat berkenaan sikap. Saya kongsi beberapa perkara di sini.
Bersaing dengan Si Tipah
Teringat saya suatu ketika dahulu drama komedi di televisyen, kisah mengenai dua orang jiran bersebelahan rumah yang bersaing harta. Apabila seorang menukar langsir, si Tipah pun mahu menukar langsir juga. Apabila seorang beli kereta baru, yang seorang Iagi pun mahu beli kereta baru yang Iagi hebat. Apabila seorang buat extension rumah, si Tipah pun mahu buat extension rumah juga!
Maka, kedua-dua jiran ini bersaing harta. Sehingga akhirnya, mereka terpaksa menjual segala-galanya kerana tidak mampu membayar hutang! Walaupun kisah komedi ini di televisyen, realiti kehidupan sebenar juga ada berlaku. Mat Salih menggelarnya “Keeping up with the Jones.”
Ada kalanya kita secara tidak sedar ingin upgrade harta kita untuk bersaing dengan orang lain. Mungkin dengan jiran, rakan sekerja atau ahli keluarga. Jauhkan daripada sikap ini kerana ia boleh menjadi punca terperangkap dengan hutang-hutang yang sukar dibayar. Ukur baju pada badan sendiri. Usah jadikan orang lain sebagai pengukur kejayaan kita, tetapi jadikan diri kita sendiri sebagai pengukur.
Pernahkah kita terfikir untuk bersaing dalam:
1. Menambah ilmu pengetahuan dengan menghadiri majlis pengajian di masjid?
2. Bersedekah dan menderma?
3. Siapakah yang paling kerap mengunjungi ibu di kampung?
Biar Papa Asal Bergaya
Saya berasal dari Perak dan orang Perak ada pepatah yang suka disebut: “Bior pape ase bergaye”. Maksudnya, biar miskin, tetapi perlu bergaya.
Seboleh-bolehnya, janganlah begitu. Bergayalah mengikut kemampuan sahaja. Kalau bergaya tetapi poket kosong tidak guna juga. Bergaya memerlukan kos yang lebih. Bergaya dengan seluar berjenama Gucci, baju beqenama LV, kaca mataberjenama Rayban, telefon berjenama Vertu dan berkereta mewah ke sana sini hanya akan menambah kos “maintenance anda.
Saya pernah mendengar kisah benar. Ada seorang hamba Allah yang sangat berkeinginan memandu kereta Mercedes tetapi pendapatannya tidak mencukupi. Maka setiap hari dia hanya makan mi segera dan mengikat perut untuk menampung perbelanjaan kereta mewah itu. Keperluan-keperluan lain juga turut dikorbankan. Adakah ini gaya hidup yang diinginkan? Lebih baik “Bior kaye baru boleh bergaye”!
Terpedaya dengan Iklan
Dalam sehari, manusia terdedah kepada lebih 1,000 buah iklan. Iklan di televisyen, akhbar, brosur, leaflet, radio, Internet,
e-mel dan sebagainya. Jangan terpedaya dengan iklan dan membeli sesuatu yang anda tidak perlukan!
Kebanyakan iklan dicipta oleh golongan profesional dalam bidang pengiklanan. Mereka mempelajari psikologi manusia bertahun-tahun lamanya. Tujuan mereka adalah satu sahaja iaitu untuk mendapatkan pembelian.
Sering kali iklan menggunakan kaedah-kaedah psikologi manusia untuk menjual sesuatu, walaupun kita tidak perlukannya. Pelbagai teknik digunakan bagi menyentuh emosi bakal pembeli untuk membuat tindakan membeli.
Lain kali apabila anda mendengar iklan yang membuatkan anda ingin membeli, berhenti seketika. Fikirkan secara rasional dan bukan dengan emosi, sama ada anda benar-benar memerlukannya atau sekadar emosi anda yang tewas dengan psikologi pengiklanan. Bukan untuk mengatakan pengiklanan tidak baik. Ia merupakan keputusan belian anda sama ada keputusan yang baik ataupun tidak.
Ingat, berjaya dalam kewangan bukan sekadar berjaya memperoleh pendapatan yang baik, tetapi berjaya mengawal ke mana perginya pendapatan tersebut!